Monday, November 21, 2016

4 Perkara yang patut anda buat semasa pasaran tidak menentu.

Ketaktentuan telah lama menjadi ciri khusus pasaran kewangan. Walau bagaimanapun, pelabur unit amanah yang terus memfokus kepada objektif pelaburan mereka dan sentiasa mengawal emosi mereka selalu muncul sebagai pemenang ketika pasaran bergolak.


Turun naik merupakan ciri yang tidak dapat dielakkan dalam pasaran saham. Perubahan dalam sentimen pasaran, arah aliran ekonomi dan keadaan kecairan merupakan faktor-faktor yang menyebabkan pasaran saham tak menentu.
Pelaburan unit trust
Imej dari business.inquirer.net

Oleh itu, tindak balas emosi kepada jualan pasaran boleh menyebabkan pelabur membuat keputusan yang mengikut gerak hati. Tidak kira apa pun masalah yang mungkin timbul, terdapat beberapa strategi pelaburan yang mantap yang terbukti dapat menolong pelabur mengharungi saat yang tidak menentu ini.
Berikut ialah beberapa panduan tentang bagaimana pelabur dapat mengharungi turun naik pasaran yang bergolak:

#1 Jangan panik semasa pasaran turun

Disebabkan perubahan dalam sentimen pasaran, turun naik pasaran pasti berlaku. Apabila pasaran turun, pelabur selalunya menjadi terlalu cemas dan mudah membuat keputusan yang tidak bijak.
Ini boleh memudaratkan kesejahteraan kewangan pelabur kerana pelan pelaburan awal diubah ataupun diabaikan dengan sewenang-wenangnya. Pastikan anda berfikir dengan jelas dan rasional apabila menilai kesan pasaran terhadap prestasi dana anda.
Kitaran menurun pasaran menawarkan peluang pelaburan yang berpotensi kepada pelabur jangka panjang untuk mengumpulkan saham yang telah turun di bawah nilai asasnya.
Bagi memperoleh manfaat daripada dana ekuiti, pelabur diingatkan bahawa pulangan dana ini datangnya daripada disiplin kekal melabur dalam jangka sederhana hingga panjang.
Disiplin ini membolehkan pelabur memanfaatkan potensi pertumbuhan jangka panjang syarikat-syarikat di mana dana ini melabur. Dengan kata lain, pelabur perlu terus bersabar bagi membolehkan pelaburan mereka berkembang lamakelamaan.

#2 Pertimbangkan tempoh masa pelaburan anda

Jika masa menyebelahi anda, tiada yang perlu dibimbangkan tentang turun naik pasaran jangka pendek kerana ia lama-kelamaan nanti akan menjadi stabil juga. Tempoh masa yang lebih panjang akan membolehkan anda melabur dalam pelaburan yang lebih tak menentu sementara mengambil kesempatan sepenuhnya ke atas kesan pengkompaunan pelaburan anda.
Begitu juga, lebih pendek tempoh pelaburan, maka lebih konservatiflah strategi pelaburan yang sepatutnya anda gunakan dengan lebih wajaran diberikan kepada dana pendapatan tetap.

#3 Mengurangkan risiko dengan mempelbagaikan pelaburan

Memandangkan bagaimana kitaran perniagaan boleh memberi kesan buruk kepada sektor atau ekonomi tertentu, maka lebih selamat sekiranya anda tidak melaburkan semua wang anda dalam satu jenis pelaburan sahaja.
Walaupun melabur dalam dana tema sektor atau dana satu negara yang kurang pelbagai boleh menghasilkan pulangan yang menarik apabila ia meraih prestasi yang baik, namun pulangan anda boleh terjejas apabila sektor atau pasaran ini merudum. Oleh itu, pelabur haruslah memilih dana dengan kelas aset yang berbeza yang tidak bergerak bersama supaya perubahan pasaran dalam satu bahagian portfolio mereka diimbangi oleh bahagian yang lain.
Kegagalan untuk mempelbagai boleh menyebabkan pelabur terdedah kepada turun naik dalam sesuatu sektor atau pasaran tertentu. Selain itu, pelabur hendaklah ingat bahawa memiliki banyak dana yang memfokuskan pelaburannya dalam suatu sektor atau pasaran tertentu tidak semestinya sama dengan melabur dalam portfolio sektor dan pasaran yang terpelbagai.

#4 Masa dalam pasaran adalah lebih baik daripada meramalkan masa yang sesuai untuk melabur dalam pasaran

Meramalkan masa yang sesuai untuk melabur dalam pasaran adalah jauh kurang penting dan jauh lebih berisiko daripada ‘masa’ dalam pasaran. Apabila pasaran mengalami pengukuhan, sesetengah pelabur menjadi panik dan menebus pelaburan mereka mengikut gerak hati.
Setelah keluar dari pasaran, mereka cuba untuk masuk semula ketika pasaran “berada pada paras terendah”. Akan tetapi apabila pasaran melantun, ia mungkin terlalu pantas untuk mereka memasuki semula pasaran. Pelabur yang memilih untuk menjauhi pasaran semasa pasaran mengalami pengukuhan tidak akan mendapat keuntungan daripada pemanfaatan harga pasaran yang rendah.
Sementara itu, pelabur yang mengamalkan strategi Pemurataan Kos Ringgit (RCA) melabur dengan berterusan dalam tempoh tersebut dan memperoleh manfaat daripada pasaran yang rendah. Oleh itu, RCA merupakan pendekatan berdisiplin kepada pelaburan yang membolehkan pelabur mengharungi turun naik pasaran.
dollar cost averaging
Imej dari 

Pendekatan RCA mengetepikan tekaan dan emosi daripada pelaburan. Kaedah ini membolehkan anda memuratakan kos pelaburan anda dari masa ke semasa kerana anda akan membeli sedikit unit apabila harga naik dan lebih banyak unit apabila harganya turun dengan melaburkan amaun Ringgit yang tetap ke dalam pelaburan unit amanah secara tetap.
Amalan yang bertahan lama ini membolehkan anda mengharungi turun naik pasaran dalam mendapatkan pertumbuhan modal dalam jangka panjang kerana lama-kelamaan ia mengurangkan ketaktentuan pasaran. Langkah mudah ini dalam perancangan yang teliti dan menggunakan pendekatan berdisiplin boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih bijak untuk kesejahteraan kewangan anda dan prestasi pelaburan anda dalam jangka panjang.
Sumber : Elias Abllh

No comments:

Post a Comment

Penafian

Sebarang artikel atau entry blog ini adalah penulisan milik peribadi dan tidak mewakili mana-mana organisasi, pertubuhan atau pihak lain. Tidak dibenarkan mengambil, menggunakan dan mencetak isi kandungan blog kecuali dengan mendapat keizinan dari penulis ,

Follow by Email